Wednesday, May 30, 2012

Kota Buku : Car Book Sale 120520

Sekitar pemandangan Car Book Sale anjuran Kota Buku. Acara berlangsung pada tanggal 20 Mei 2012. Program ini dijadualkan berlangsung setiap dua minggu. 






Tuesday, May 1, 2012

Wanita Manis Bertudung Biru Langit

Watak : Wanita manis bertudung biru langit.

Hari itu, saya berjalan seorang diri. Lewat gigi pantai, saya nampak sesuatu. Di kejauhan, sekonyong-konyong tubuh seseorang. Berjalan seorang diri juga. Menghadap matahari yang mulai cuba menyorok wajahnya.

Wanita itu bertudung biru, sebiru langit. Berbaju kurung, tidak ada sepatu. Mendepang tangan lagak orang berpidato.

"Gila ke?"ucap saya perlahan.

Sekejap itu juga wanita itu berpaling kepada saya. Berderau darah naik ke muka. Beliau melambai-lambai mesra kepada saya. Kemudian memanggil saya dengan kuat.

"Hoi perempuan! Apa kau pandang? Mari sini!" bentak perempuan itu.

Sejuk rasanya badan saya. Saya mengerling sekeliling, cuba memastikan jika ada orang lain di situ. Tapi hanya saya seorang yang ada. Pastinya perempuan itu memaksudkan saya.

Saya cuba menapak ke belakang perlahan-lahan. Saya takut melihat wanita itu. Bercakap seorang diri menghadap laut? Baik saya larikan diri.

"Jangan lari! Mari sini temankan aku!" perempuan bertudung biru langit itu menjerit lagi.

Saya tidak bergerak. Pegun. Tidak tahu apa mahu buat. Dan pada waktu itu wanita itu kembali memandang laut. Dari jauh, kedengaran perempuan itu bermadah...

+++++++++++++++++++++++++

Aku punya kau. 
Kau kecil tapi rasa mu besar sekali. 
Kau kecil tapi kau mampu gegar ini semesta 
ke hujung Timur kau beralik. 
Ke Barat tidak bertempik

Kau gagah. 
Satu persatu lentur di tangan. 
Satu musuh tiada yang tinggal.

Kau lemah. 
Bila aku abaikan. 
Dan aku lemah tatkala mula mengabaikan. 
Lantas aku tidak mahu pengabaian

Kau kuat. 
Maka kau temani aku semalaman. 
Kau tidur di kesiangan. 
Kau bangkit bila ku perlukan. 
Kau akur segala arahan.

Aku sayang Kau

+++++++++++++++++++++++++

'Perempuan ini bercakap pasal apa? Pasal siapa?' getus hati saya.

Saya masih pegun tidak bergerak. Mungkin wanita ini sedang menulis sajak?

"Kau!" tempik perempuan itu.

"Kenapa kau tercegat sahaja? Mari ke sini. Aku tidak akan makan kau. Aku makan nasi!" herdik perempuan itu.


Perempuan ini memang gila. Berpeluh saya menahan gentar. Tidak boleh berlengah lagi. Baik saya lari cepat. Dengan sederap semangat, saya berlari sekuatnya. Tidak lagi pandang belakang. Kedengaran sayup-sayup...

"Aku perlukan teman..." perempuan bertudung biru menjerit lagi.

Saya tidak cukup berani untuk menjadi teman kepada perempuan itu. Dia gila!

PS : Coretan ini terhasil tanggal April 14, 2010

Tuesday, April 3, 2012

Kuala Lumpur - Skudai - Kuala Lumpur (1)


Hujung minggu lalu, saya sekali lagi menghadiri kuliah di selatan tanah air. Syukur, kali ini saya sempat merakam gambar lautan indah terbentang. Sungguh, saya suka merenung laut yang meluas. Tidak terbatas pandangan.

Foto di bawah pula merupakan posisi saya menghabiskan beberapa jam menguliti naskah Bumi Cinta. Satu pengalaman manis buat jiwa saya, menguliti buku, sekali sekala membuang pandangan pada lautan indah terbentang.

Apakah perkongsian perjalanan Kuala Lumpur - Skudai - Kuala Lumpur saya pada kali ini?


Perjalan pergi kami diiringi hujan berterusan. Nyamannya jika lena sejenak dalam kedinginan itu. Namun, saya berjaga sepanjang perjalanan, sambil khusyuk memerhatikan kabus meliputi kawasan bukit dan kawasan persekitaran. Sejuk dan mendamaikan..

Pada waktu malam, usai kuliah dan sekembalinya saya dari makan malam, perkarangan lobi kamar kami dipenuhi pelbagai gelagat manusia. Apabila saya menggunakan perkataan 'pelbagai', ya benar ia pelbagai. Ada yang manis, ada yang kurang manis. Setibanya saya di kamar, kedengaran pula laungan malam minggu dari open lounge/bar dari tingkat 6. Saya terus mencapai gebar tebal dan lena dalam kedamaian.

Awal jam 4 pagi, saya sudah bangkit, menelaah beberapa helai nota bagi persediaan praktikal. Kemudian, mencatit beberapa plot ringkas, siapa tahu ia berguna kelak. Menghabiskan minit-minit akhir sebelum menjelang Subuh dengan berfikir.......... : Apakah tanggungjawab penulis itu melaporkan atau membangun harapan?

Ada satu pendapat mengatakan penulis melaporkan realiti kehidupan. Bahan bacaan merupakan sumber ilmu kepada semua. Pembaca meneladani kisah-kisah yang dibukukan.

Ada satu pendapat mengatakan penulis membangun harapan, bahan bacaan merupakan makanan jiwa kepada masyarakat. 

Fikir saya, penulis melaporkan realiti bertapis dan membangun harapan. Seperti pemandangan malam minggu saya di lobi kamar itu. Saya memilih untuk tidak menceritakannya dalam bentuk perincian, cukup sekadar memberi gambaran kasar. Kemudian membangun harapan menggunakan kisah menelaah nota pada waktu Subuh. Fikir saya lagi, sekiranya penulisan hanya melibatkan membangunkan harapan, sukar rasanya pembaca berpijak pada dunia nyata. Dan ya, sekiranya semuanya realiti, maka kosonglah ruangan imaginasi. Bersederhana dalam menjalin keduanya. Itulah pegangan prinsip penulisan saya pada waktu ini.

Jumpa lagi dalam catatan Kuala Lumpur - Skudai - Kuala Lumpur!

Saturday, March 24, 2012

Pemasaran versi KalebNation


Pertama kali mengenali KalebNation pada tahun 2009. KalebNation menggunakan fungsi blog dan YouTube sepenuhnya bagi membina nama sebagai seorang penulis. Menerusi salah satu video beliau, beliau berkongsi bagaimana buku-buku awal beliau dibaca oleh para subsribers akaun YouTube beliau sendiri.

Pandangan saya, hubungan penulis-pasaran yang beliau bina menerusi YouTube menjadi promosi berterusan sepanjang tahun. Dan video di bawah ini, saya teringin mahu menyediakan video versi saya pula. Haha!




Friday, March 23, 2012

Puisi : Definisi 'Aku'


Definisi 'Aku'
OLEH : Malina J
TARIKH : 1 Mac 2012

Aku,
anak kecil dengan hati besar
anak rendah dengan cita tinggi
anak miskin dengan hati kaya
Definisi hidup untuk seorang aku
Kata mereka
Aku tidak mungkin merubah dunia
Aku tidak akur!
Aku bisa merubah duniaku
Aku bisa merubah diriku
Definisi dunia untuk seorang aku
Aku,
idola pada lainnya
sopan pada tuturnya
patuh pada masanya
kasih pada hatinya
aku, ranum kedewasaan pada waktunya
Definisi dewasa untuk seorang aku

Aku dan kehidupan dunia dewasa
Sukar dan lelah
Tidak aku pasrah
Terima segala padah
Satu ribu kata, aku tidak mungkin kecapi jaya
Satu ribu kata, aku bakal gagal segala
Satu ribu kata, tunding padaku semuanya
Aku bernyanyi gembira
Aku tersenyum suka
Aku terus berusaha demi dingin jaya
di hari muka.

Thursday, March 22, 2012

Korea : Mencerap Idea Pemasaran dan Budaya Kerja


Petang ini saya menulis di status : Lintas dalam fikiran - Jika belum dapat menghasilkan 4buku setahun, hasilkan 1 buku yang jualannya menyamai 4 buah buku itu..Berikut adalah analisis ringkas (surface) mengenai produksi kerja dan pemasaran beberapa artis Korea : IU, CN Blue, Lee Seung Gi.

Lee Seung Gi - wajah popular di Korea 

Poin 1 : Walaupun hanya satu album terbit sepanjang tahun, namun pemasaran jenama artis Korea berlaku sepanjang tahun menerusi kegiatan lain (terutamanya melibatkan media elektronik - variety show, OST, cameo drama, jurucakap produk). Ia membantu artis tersebut apabila album terbaru mereka terbit di pasaran kelak.

Poin 2 : Walaupun mereka menghasilkan full product, pada waktu tertentu sepanjang tahun, mereka juga menghasilkan digital single. Digital single mengembalikan ingatan peminat (pemegang duit) kepada jenama mereka.

Poin 3 : CN Blue debut di Jepun, kemudiannya kembali ke Korea. Kembali semula ke Jepun selepas nama mereka cukup besar. 

Poin 4 : Mereka ada tours bagi setiap album. :) Mereka juga ada fan meeting!

Poin 5 : Comeback Stage merupakan program yang dinantikan oleh semua peminat fanatik mereka. 

Poin 6 : Bagi sesetengah artis, tempat duduk konsert mereka habis terjual secara online dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Maka, kita usahakan mencerap idea gerak kerja mereka ini ke dalam kerjaya penulis.

Adaptasi idea ini dalam kerjaya penulis

Idea 1 - Walaupun hanya menghasilkan 1 novel sepanjang tahun, teruskan produksi lain yang membolehkan kita memasarkan jenama sendiri sepanjang tahun. Contohnya penulisan skrip drama. Skrip drama membawa nama besar kita ke media elektronik. Seterusnya, ia membina tribe tersendiri. 

Idea 2 - Buka peluang menjadi jurucakap produk atau jurucakap jenama. Jadi duta! Jika belum ada yang mahu melantik kita sebagai jurucakap, kita bantu mempromosikan jenama-jenama itu secara percuma terlebih dahulu... 

Idea 3 - Kerap menulis cerpen (digital single?). Cerpen berfungsi sebagai mengekalkan nama kita dalam industri. Jika tidak, nama kita ditolak orang lain, memandangkan setiap hari, semakin ramai penulis muncul dalam pasaran. Hanya, perlu memikirkan cara cerpen (digital single?) ini dipasarkan. Ia perlu mendapat perhatian dan dinantikan kemunculannya. Ia perlu memikat peminat baru, dan meraikan peminat sedia ada. Adakah bentuk cerpen sedia ada berjaya memikat peminat baru (bukan pembaca tegar)?

Idea 4 - Fan meeting memberi pas ekslusif kepada peminat hasil penulisan kita. Memberi ruang mereka berinteraksi lebih dekat dengan penulis kegemaran mereka. 

Idea 5 - Comeback stage penulis boleh jadi pesta buku atau pelancaran buku terbaru. Pelancaran itu mestilah diumumkan lengkap bersama teaser comeback lebih awal (satu bulan atau dua bulan lebih awal). Apabila ia terbit, ia laku macam pisang goreng panas...

Idea 6 - Mini novel (mini album) boleh menggantikan peranan konsert. Jual naskah terhad, buka jualan online, dan pemasaran dilakukan lebih awal. Katakan target kita hanya 200 naskah, maka 200 pembeli terawal itu adalah pembaca bertuah. ^^ Hasil jualan dan tempoh jualan berlangsung, boleh digunakan sebagai bahan pemasaran berulang kali kelak. 

Setakat ini dahulu yang dapat dicetuskan. Dan ya, ia sekadar idea. Jika bermanfaat, mohon dipraktiskan. Sekiranya tidak, ubah suai idea-idea ini.

Idea-idea ini tercetus kerana saya percaya tidak ada satu cara sahaja bagi merintis jalan sebagai penulis. Penting, berusaha dan terus berusaha!  

Kuala Lumpur - Skudai - Kuala Lumpur (1)

Beberapa ketika ini, saya bakal berulang alik ke Skudai pada hujung minggu bagi melengkapkan kuliah semester terakhir saya. Perjalanan beberapa ketika ini, sempat juga mencambah banyak fikiran dan menjernih kesuraman.

Perjalanan ke Skudai bermula seawal jam 4 pagi. Bangkit seawal jam 3 pagi, bersiap dan terus bergerak ke Skudai. Memandangkan kuliah saya bermula jam 8.30pagi, saya perlu sampai lebih awal. Itu merupakan satu kebiasaan untuk saya, lebih awal daripada perjanjian.

ALLAH Maha Besar mengilhamkan sesuatu menerusi kisah bertolak pada awal pagi ini. Menerusi pandangan lepas pada kepekatan dingin pagi, saya seakan melihat betapa sekiranya sesuatu perkara itu penting, maka manusia pasti berusaha mendahulukannya dan berusaha memastikan ia dalam perhatian. Kuliah jam 8.30pagi itu benar penting kepada saya, mahasiswa dari jauh. Maka, mata pisat dan badan penat tidak menghalang saya bangun dan bersiap jam 3pagi.

Jelas, ia pengajaran kepada diri penulis.

Source : vladimiramichalkova.edublogs.org
Adakah penulisan kita itu benar penting, sehingga kita mendahulukannya setiap hari? Atau, adakah kita cuba menyediakan ruang waktu dan menganjakkan masa sekiranya terganggu? Atau, adakah kita hanya menulis apabila perlu.

Jika saya memilih sikap ketiga ketika berdepan perihal kuliah di Skudai, pastinya saya sampai jam 11pagi.

Soalnya, selepas menyedari sikap tersebut, apakah tindakan seterusnya?

Nota : InsyaALLAH dari masa ke masa, saya kongsikan fikiran dan pandangan sepanjang perjalanan saya berulang alik ke Skudai sehingga penghujung Mei nanti.